Bawakanku ke Taman Itu

Bismillahirrahmanirrahim.

Puja dan puji tertuju hanya pada Allah Jalla Wa ‘Ala. Tempat mengadu sekalian makhluk. Dia memujuk mereka yang merajuk dan bermuram durja. Menghiburkan mereka yang berduka dan kecewa. Dia tidak pernah meninggalkan hamba-Nya walau sedetik. Tetapi hamba-Nya lah yang selalu meminggirkan-Nya tanpa ada rasa bersalah. Allah… Astaghfirullah al-‘Azhim. Ampuni hamba-Mu ini ya Ghafur.

Ucapan selawat dan salam buat kekasih tercinta Habibuna Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam.Semakin banyak selawat dilantunkan, semakin menambahkan rindu kepada peribadi yang tidak pernah dilihat itu. Bilakah rindu ini akan berbunga? Bilakah cinta ini akan mekar? Allah Akbar! Damainya pandangan Masjid al-Nabawi itu. Subhanallah! Inikah namanya rindu? Terasa bagai ingin segera berlari ke sana. Menziarahi tempat pembaringan insan termulia di sisi Allah Jalla Wa ‘Ala. Meluahkan mahabbah yang kian lama terpendam. Ya Allah, sampaikan salam dan rinduku pada kekasih-Mu yang termulia itu. Allahumma Solli ‘Ala Muhammad Wa ‘Ala Aalihi Sayyidina Muhammad.


-------------------------------------------------------------------------------------
Kisah ini diambil dari pengalaman seorang hamba Allah yang diadaptasikan dalam bentuk cerita. Moga ia memberi manfaat kepada semua khususnya dalam memahami hakikat hubungan antara guru dan anak murid atau antara orang soleh dengan mereka yang mencintai orang-orang soleh. Mungkin lebih tepat ‘hubungan hati atau ruh’ atau dalam falsafah ia disebut ‘intuisi’.

“Bawakanku ke taman itu. Taman yang indah yang belum pernah kulihat seumur hidupku”

Terjaga dari tidur. Belum sempat memuji Allah kerana mengizinkan hidup di bumi lagi, senyuman sudah terukir dibibir. Subhanallah, Alhamdulillah…Dia kurniakan permulaan yang baik untuk menjalani kehidupan hari ini. Apakah yang mencuit hati sehingga terasa cukup gembira dan damai seperti ini? Cuba mengimbas kembali perjalanan di alam ruh sebentar tadi. Di mana permulaannya?

Ya, aku berdiri di hadapan perkarangan masjid. Rasanya tempat itu tidak pernah kujejaki dalam dunia realitiku. Suasananya damai dan menyegarkan. Mungkin di sebuah perkampungan atau pedalaman. Hanya berdiri dan menyaksikan masjid itu dari luar. Sedang asyik memerhatikan masjid itu, berlalu seorang lelaki berjubah putih dan berserban keluar dari masjid untuk pulang ke rumah barangkali. Aku kenal peribadi itu. Hanya memerhatikan dia berlalu. Tidak jauh dia melangkah melepasi tempat berdiriku lalu dia berpaling. Tersentak dan tergamam seketika.

“Nak ikut?”, Itulah pertanyaanya. Singkat sahaja. Ke mana dia hendak pergi? Tanpa menunggu jawapan dariku dia terus berlalu pergi meneruskan perjalanan pulang. Tanpa sempat berfikir apa-apa juga, secara takdirnya kakiku mula melangkah mengikut lelaki itu dari belakang. Entah apa yang mendorong aku untuk melangkah, namun terasa ringan sahaja kaki ini. Diam dan tidak berkata apa-apa. Aku perhatikan pemandangan sepanjang perjalanan yang aku tempuhi.


Subhanallah, indahnya laluan ini. Bagaikan sebuah taman indah yang tidak mampu kugambarkan dengan taman-taman di dunia. Di manakah tempat ini? Hijau daunnya cukup muda dan menyegarkan. Udaranya terasa nyaman sekali. Seolah baru sahaja berembun sedangkan cuaca ketika itu sudah tengahari. Tetapi langsung tak terasa teriknya malah menyegarkan pula. Subhanallah, taman apakah ini? Sungguh indah dan mendamaikan.

Terus melangkah di belakang. Akhirnya sampai ke tempat yang dituju lelaki itu. Sesampai di situ dia terus ke ruangan seperti tempat makan lalu menuangkan makanan ke dalam dulang. Kelihatannya seperti ingin menjamu anak-anak muridnya. Erm…bagaimana aku tahu jika dia memiliki anak murid? Entahlah, ketika itu seakan-akan menyangka dan merasakan sedemikian. Aku hanya memerhati. Dia khusyuk dan tekun menyediakan makanan tanpa menoleh sedikitpun. Tidak lama kemudian, dua orang wanita bertudung labuh datang ke arahku dari arah belakang. Mereka menyapa diriku penuh mesra lalu membawa bersama mereka. Aku mengikuti mereka sambil menoleh memandang kepada lelaki tadi. Seolah pertanyaanku belum terjawab. Berlalu pergi. Terjaga dari tidur.

Siapakah lelaki itu? Itulah Tuan Guru yang aku berguru dengannya hari ini. Lelaki yang berjubah putih bersih dan berserban itu adalah Tuan Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Abdullah al-Banjari al-Makki. Walau hanya bertemu di alam ruh, mungkin itulah petunjuk bahawa aku akan mengikuti pengajiannya nanti. Siapa sangka ia menjadi kenyataan. Taman indah yang menjadi simbolik itu rupanya adalah taman ilmu yang diumpamakan sebagai taman-taman syurga. Subhanallah. Moga-moga menjadi hamba-Nya yang syakur.

-------------------------------------------------------------------------------------
Subhanallah, betapa indahnya perjalanan hubungan hati atau ruh. Namun ia hanya mampu disingkap oleh mereka yang berhati bening. Alangkah indahnya pertemuan itu. Apakah aku juga bisa memilikinya. Allah, kekotoran jiwa ini menghalang perjalanan ruh untuk bertemu mereka yang berhati suci.

Kerana keinginan di samping pengharapan dan doa seorang hamba yang mencintai orang soleh, dia pertemukan kedua-duanya untuk kenal di alam ruh terlebih dahulu. Pasti lain rasanya saat bertemu di alam realiti. Walaupun tidaklah bermakna di alam realiti mereka sudah terus saling mengenali, tetapi yang pasti hubungan hati itu sudah terjalin kuat rantaiannya. Semoga kita juga dianugerahkan oleh Allah nikmat bertemu orang soleh seperti ini. Apatah pula jika yang ditemui itu Rasulullah Sallallah ‘Alayh Wasallam. Allah…


Ya Allah Ya Rahim. Kau ampuni Tuang Guru kami, al-Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Abdullah al-Banjari al-Makki. Peliharakan dirinya dan seluruh kaum keluarganya, guru-gurunya dan mereka yang menuntut ilmu darinya. Muliakan dan tinggikanlah darjatnya di sisi-Mu dengan semulia-mulia martabat. Izinkan kami terus mengutip ilmu darinya, mudah-mudahan ia membuka jalan mengenal-Mu yang mendekatkan kami kepada-Mu.

Ya Ba‘ith, himpunkan kami bersamanya di akhirat kelak kerana kami mencintainya dan ingin berhimpun bersamanya. Sesungguhnya Nabi-Mu pernah bersabda, “seseorang itu di akhirat nanti akan bersama orang yang dicintainya”. Kami juga mencintai kekasih-Mu. Maka, himpunkanlah kami semua bersama kekasih-Mu Sayyiduna Rasulullah Sallallah ‘Alayh Wasallam dan Tuan Guru kami di sana bersama-sama. Ya Mujib, perkenankanlah. Allahumma Amin.

Sinar CINTA

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah Jalla Wa 'Ala dan selawat serta salam ke atas Sayyiduna Muhammad Sallallah 'Alayh Wasalam.


Saat mereka ghairah menutur *CINTA, aku terdiam tanpa kata.
Bukan kerana terpesona semata, bahkan cemburu pula yang menyala.
Beningnya hati para pencinta, sekali menyebut-Nya sudah mampu menggetar jiwa.
Sungguh aku masih jauh bersama mereka.

Ke mana hendak berlari saat takdir-Nya mendahului?
Bersimpuh di hadapan pemilik hati, kadangkala membuat bicaraku mati.
Tiada daya untuk meluah rasa, ratap hibaku menjelas segala.
Sungguh, Dialah Yang Mengetahui Segala.

Ya Tuhan, penantian ini begitu perit.
Sedang jiwaku makin terhimpit.
Berjalan menuju-Mu hanya sendiri.
Kekuatan dan bantuan-Mu lah yang kunanti.
Jangan biarkan aku sendiri.
Tanpa-Mu di sisi, apalah erti hidup ini.

Ya Rasyid, bimbingi hamba-Mu menuju jalan kebenaran.
Lindungi aku dari kemurkaan.
Hanya redha-Mu yang menjadi dambaan.
Moga menyinar cahaya CINTA dan kebenaran.

------------------------------
*CINTA = Cinta Allah

Menumpang Barakah Jumaat

Bismillahirrahmanirrahim


Alhamdulillah. Ucapan syukur yang tidak terhingga buat Allah Jalla Wa ‘Ala. Pagi Jumaat yang penuh barakah. Masih diberi peluang meneruskan sisa hidup di dunia. Umur semakin bertambah, perjalanan semakin hampir ke perhentiannya. Ya Allah, pimpinlah aku menusuri perjalanan ini ke penghujungnya. Tika ini mungkin beringat, bimbang satu saat diri terleka dan terlepas bebas tanpa kawalan. Alangkah ruginya jika tidak sempat bertaubat. Ampuni hamba-Mu yang hina dan dina ini Ya Ghaffar.


Selawat dan salam buat junjungan mulia Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam. Tanda cinta, perbanyakkan selawat ke atas baginda. Budi dan jasanya tidak ada tandingan walau dihimpunkan seluruh umatnya sekalipun. Bisakah cinta bertandang andai peribadi agung itu tidak pernah dirindui? Akankah rindu berputik andai insan termulia itu tidak pernah dikenali. Mari bermuhasabah agar kita fahami erti kenal dan cinta yang benar. Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Alihi Muhammad.


Putaran masa pantas sekali. Hari ini, menjelang subuh genap umur 24 tahun. Kata orang, umur sebegini sudah masuk ke alam dewasa. Mudah-mudahan umur ini sentiasa dimanfaatkan. Subhanallah, syukur hanya dipanjatkan kepada Ilah yang satu. Alhamdulillah, hari ini masih diizinkan untuk menikmati kurniaan-Nya. Mudah-mudahan imanku semakin menebal, amalku semakin bermutu, dan sujudku semakin berpanjangan. Ya Syakur, bimbinglah aku menjadi hamba-Mu yang syakur. Amin ya Rabb.


Menumpang barakah Jumaat yang mulia. Terasa bererti dan bermakna ulang tahun ini bila dihayati keberkatan Jumaat itu. Alangkah indahnya jika hari Jumaat juga menjadi pengakhiran usiaku di dunia. Itulah harapan setiap mukmin. Moga tidak menjadi suatu kesalahan untuk aku juga berharap sedemikian. Allahumma Ikhtim La-na bi Husni al-Khatimah wa La Takhtim ‘Alayna bi Su’ al-Khatimah.


Kata emak, “hari jadi bukan untuk suka-suka. Tapi kena buat sujud syukur, berterima kasih kepada Allah kerana memberikan umur yang panjang. Moga-moga menjadi hamba Allah yang taat, in-sya-Allah. Itulah cara bersyukur”. Inilah kata-kata yang selalu diingat setiap kali ada ahli keluarga atau sahabat yang menyambut hari lahir. Ya, setuju dengan kata-kata emak. Pernah juga teringin untuk merasai betapa seronoknya menyambut hari lahir seperti orang lain. Tetapi aku tidak menemukan keindahan dan ketenangan. Hanya kekenyangan yang membuatkan diri malas untuk beribadah dan keseronokan melampau yang membuat diri leka. Terasa betapa sia-sianya masa yang dilalui. Bukan tidak boleh, tetapi bersederhana sahaja. Semoga ia menjadi suatu pengajaran buat diri.


Baru sahaja lepas paper yang pertama untuk semester ini. Sebentar tadi dapat mesej dari abah. “Selamat hari jadi kak cik anak yang baik. Hadiah bila balik nanti. Semoga berjaya peperiksaan”. Tersengih sendiri melihat mesej tersebut. Anak yang baik? Besar sangat pengiktirafan itu, abah. Memang tak layak untuk anak yang perangai macam hantu ini untuk mendapat pengiktirafan yang tinggi. Apapun, besar harapanku mudah-mudahan itu jadi satu doa yang diangkat oleh Allah Jalla Wa ‘Ala pada hari yang penuh barakah ini. Allahumma Amin.


Ingin juga diabadikan ucapan doa salah seorang teman yang menjadi pembakar semangat in-sya-Allah:
"Moga-moga dimurahkan rezeki dan diberkati-Nya serta, ditiup semangat-semangat jihad dalam diri kita. Amiinnn"

Bagaimana hendak melahirkan rasa syukur? Argh! Soalanku seperti anak kecil yang baru hendak mengenal dunia. Tapi biarlah! anak kecil juga manusia. Asal saja hatinya ingin hidup bertuhan dan dekat kepada Allah, dia lebih mulia dari si tua yang hanya asyik mencari keseronokan dunia semata. Seketika, hisablah diri…kerana rasa syukur itu tidak akan terbit dengan sendiri jika nikmat yang dikurniakan-Nya tidak dikeluarkan satu persatu.
********************************************

NIKMAT-MU

Tiada kata secantik bahasa
Untukku tutur tanda syukur
Kering lautan menjadi dakwat pena
Namun tak sudah tak terhingga

Tapi ianya mesti dizahirkan
Sebagai tanda terima kasih
Dengan ucapan dengan perbuatan
Hati bersyukur dan berserah

Ucapan di bibir, Alhamdulillah
Perbuatanmu ke jalan Allah
Nikmat diterima kau pulang untuk-Nya
Mengabdi diri berbakti dengan manusia

Sungguh-Mu Tuhan tiada tandingan
Pemurah-Mu tak kira siapa
Hatta mereka yang menderhaka
Yang bertaqwa nikmat tidak terhingga

Malunya daku pada-Mu Rabbi
Nikmat Kau beri tidak terperi
Amal diriku cuai dan lalai
Namun harapku tetap tinggi


Sering diulang-ulang lagu ini samada di kereta atau di blog. Sampai orang pun jadi bosan mendengarnya. Maaflah, cuma tertarik dengan liriknya yang ringkas tapi padat dengan makna. Ke mana-mana pun jika hendak berbicara tentang syukur pasti teringat lirik ini. Sayangnya lagu ini tiada dalam simpanan laptop dan CD, rosak gara-gara kerap dimainkan agaknya. Semoga bermanfaat buat diri.

**********15 June 2012; Jumaat***

Leraikan Dunia Dari Hatimu

Bismillahirrahmanirrahim.


Alhamdulillah Rabbil ‘Alamin. Puji dan syukur ditujukan kepada Allah Jalla Wa ‘Ala. Selawat dan salam ke atas peribadi mulia Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam.


Tenang saat memutuskan. Bagaikan terselah keyakinan dan ketabahan. Namun apa yang disembunyikan di dalam hati. Hanya Dia yang lebih mengetahui. Hidup terus berdelusi. Kerana mimpi hanya illusi. Mungkinkah tercipta bahagia sedang hidup diselubungi dosa? Bisakah senyuman terukir ceria andai derita sering bersua?


Pertanyaan yang meletihkan. Manusia kadang-kala bertanya bagaikan tiada iman di hatinya. Di mana konsep tauhid yang dipelajari di kuliah-kuliah. Di mana konsep sabar dan redha yang diajarkan guru. Ke mana perginya semua ilmu? Ujian Tuhan itu hanya sebahagian kecil jika dibandingkan dengan ilmu yang dikurniakan-Nya. Mengapa mempertanyakan sesuatu yang bisa menghakis iman? Hanya kerana kehilangan suatu yang hakikatnya bukan milikmu, tangis dan hibamu seolah engkaulah pemilik sebenar. Ketahuilah, manusia itu faqir di hadapan Tuhan. Tiada suatupun di dunia ini adalah milikmu. Tatkala Dia mengambil hak milik-Nya, manusia bertindak solah Tuhan mengambil haknya. Sungguh manusia tidak sedar diri. Nikmat Tuhan tidak pernah disyukuri malah ingin menguasainya pula. Usah terus membentak. Berserahlah pada ketentuan Ilahi. Lepaskan cinta duniawi dan cinta insani. Pasti kau akan temui cinta hakiki. Dia-lah kekasih yang diimpi.


Saat engkau menatap langit yang luas, pasti terasa masih ada harapan. Jangan terlupa menundukkan kepalamu ke bumi, bimbang terlupa asal-usul diri. Dunia ini hanya menipu buat mereka galak memburu. Tinggalkan ia sedaya upayamu agar ia mula berasa cemburu. Biar ia hadir melutut di hadapanmu tetapi jangan sesekali tunduk terhadap rayuannya. Burulah cinta akhirat, jika Allah menghendaki, dunia akan hadir sebagai anugerah-Nya buatmu. Wahai diri, insaflah. Wallahu a’alam.