Hak Yang Dihormati

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah Yang Maha Membuka. Dia yang membuka pintu-pintu rahmat-Nya kepada seluruh hamba-Nya. Dia Yang Maha Memberi tanpa mengharap balasan, sekalipun si hamba menderhaka dan melupakan-Nya. Semua itu kerana sifat al-Rahman-Nya yang tidak berbelah bagi. al-Rahim-Nya tersimpan buat hamba pilihan-Nya. Siapa yang mendekat pasti merasainya. Walau secebis kurniaan-Nya, sudah cukup untuk mendamaikan hati si hamba. Hanya saja kita mensyukurinya atau mengingkarinya. Allahumma A-‘ini ‘Ala Zikri-Ka Wa Syukri-Ka Wa Husni ‘Ibadati-Ka. Selawat dan salam yang tidak terlupakan buat Rasulullah (s.a.w.), yang dengan nurnya teranglah seluruh alam ini. Hadirnya membawa rahmat, perginya mewariskan asbab kepada rahmat. Ya Allah, bantulah aku dalam menghidupkan sunnah kekasih-Mu, agar hati dan diriku terasa hampir kepadanya, yang dengannya mendekatkan pula aku kepada-Mu. Amin.

Hidup sebagai seorang pelajar memang tidak terlepas daripada berhubung dengan guru-guru. Itu tidak dimungkiri, kerana mana mungkin seseorang itu digelar sebagai seorang murid jika tiada guru yang mengajarnya. Itulah sebahagian hakikat dalam menuntut ilmu, perlu ada guru, murid dan ilmu. Kata Syeikh yang ku hormati dan kasihi, al-Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Abdullah al-Banjari al-Makki (semoga Allah merahmatinya), yang menukilkan kata-kata dari al-Habib Umar bin Muhammad Salim bin Hafiz (semoga Allah merahmatinya), bahawa jika murid mendoakan guru, itu adalah hal yang wajar tetapi jika kita berada di dalam hati guru kita, itulah asbab kepada kejayaan kita”. Allah Akbar! Ini adalah suatu pengiktirafan yang cukup tinggi bagiku sebagai seorang murid. Layakkah aku untuk berada dalam hati guru-guruku sedangkan aku malas dalam mentelaah ilmu yang mereka ajarkan, doa juga sangat sedikit, beramal dengan ilmu entah bagaimana pula. Ya Allah, janganlah Engkau membiarkan aku berputus harap dari rahmat-Mu dan bantulah aku untuk ikhlas dalam setiap perbuatan, perkataan dan lintasan hatiku.

Cukup cemburu jika melihat murid yang rapat dengan guru-guru mereka. Lebih-lebih lagi jika guru itu juga mengajarkan aku. Namun apa yang mampu aku lakukan? Kebanyakan guruku adalah dari kalangan lelaki yang semamangnya perlu untuk aku membataskan perhubungan. Bukan kerana bimbang bermain hati tetapi kerana penghormatanku kepada mereka. Kerana kemuliaan mereka, aku menjaga batasanku. Cukuplah aku menemui mereka dalam doaku dan majlis-majlis ilmunya. Mendengar kalam dari mereka mampu mendamaikan hati yang resah gelisah, memandang mereka membayangkan peribadi baginda Rasulullah (s.a.w.). Ya Allah, aku rindukan majlis itu. Majlis yang mampu membuatkan hatiku tunduk kepada keagungan-Mu. Majlis yang menghidupkan rasa kasihku kepada peribadi mulia Sayyidina Muhammad (s.a.w.). Majlis yang perpisahannya menjadikan hatiku menangis bahagia. Ya Allah, masukkanlah aku dan kaum kerabatku di kalangan pencinta kekasih-Mu dan Ahlul Bayt dengan sebenar-benar cinta. Amin Ya Rabb.

Itu adalah ceritaku. Mengingatkan diri tatkala diasak dengan seorang anak murid yang ingin berhubung dengan gurunya. Secara takdirnya, gurunya adalah kakak aku sendiri. Asalnya kakak memperkenalkannya untuk membetulkan persepsi dan cara berfikir. Tapi apalah yang aku ada untuk memenuhi permintaannya. Dengan ilmu yang sangat cetek, hanya memalukan diri sendiri sahaja. Tapi apabila diminta berkali-kali, akhirnya aku mensyaratkan supaya semuanya hanya melalui mesej sahaja. Tiada sebarang call in atau call out, apatah lagi yang lebih dari itu. Jika itu dapat dipenuhi, aku bersedia menghadapinya, In-sya-Allah. Alhamdulillah, padaku semuanya berjalan dengan baik. Pelajar itu boleh menghormati caraku, itu satu penghormatan buatku. Tetapi jika ada yang terselindung disebaliknya, aku hanya berserah kepada Allah Yang Maha Mengetahui untuk mengadili setiap sesuatu kerana itu di luar kemampuan diriku.

Selepas ustazahnya berhenti mengajar di maahad-nya, hubungan antara dua orang guru dan anak murid itu terputus secara lahirnya. Hakikatnya bukan dia sahaja, tetapi seluruh pelajar di Maahad tersebut. Kerapkali juga pelajar itu meminta aku menyampaikan salam kepada ustazahnya. Mungkin sebagai ingatan seorang anak murid kepada gurunya yang memang sukar hendak dihubungi. Ketahuilah salam itu disambut dengan baik. Aku fahami keadaan itu kerana aku juga memiliki guru. Bezanya memang sengaja aku tidak hubungi ustaz-ustazku kecuali atas urusan tertentu yang penting. Semua itu telah dijelaskan dipermulaannya.

Namun seribu kali maaf, permintaan untuk menemukan secara terus itu tidak mampu dilakukan kerana hormatku kepada gurunya yang merupakan ahli keluargaku sendiri. Belajarlah untuk menerima keadaaan ini. Aku melihat sesuatu kemuliaan yang sedang diatur oleh Allah untuknya. Kerana kemulian al-Quran yang ada dalam diri dan ingatannya, Allah ingin membersihkan dari segala illusi dunia yang kotor. Barangkali suatu masa nanti dia akan memikul tugas membimbing umat seperti yang dilakukan oleh para habaib dan ulama yang benar tika ini. Tugas itu suci, kerana Islam itu suci dan bersih, maka pembawanya juga harus suci hati dan dirinya dari sebarang nafsu dan godaan yang melalaikan. Ketahuilah mematuhi permintaan guru itu sebahagian dari adab berguru. Ada keberkatan yang tersimpan. Doakan kebaikannya di dunia dan di akhirat, mudah-mudahan ingatan guru pada murid kan lahir lalu mendoakan kebaikan pula buat kita. Bersabarlah! Sesungguhnya pada sabar itu ada suatu kemanisan yang tak mampu diungkap. Mungkin hakikat ini hanya bisa difahami 10 atau beberapa tahun yang akan datang. Semoga dikurniakan al-Hikmah untuk mengungkap hikmah di balik tiap sesuatu. Allahumma Amin. Amalkan apa yang diajarkan oleh guru walau hanya sepatah perkataan yang diajar, pahalanya akan terus mengalir yang secara tidak langsung mengangkat martabat keilmuan guru yang dikasihi dan dihormati. Ya Allah, permudahkanlah.

Akhir kalam, dinukilkan kata-kata dari syeikh yang dikasihi kerana Allah Jalla Wa 'Ala, Habibi al-Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Abdullah al-Banjari al-Makki (semoga Allah memeliharanya), "Jika Allah (s.w.t.) telah meletakkan kita bertemu dengan ulama, belajar dengan ulama, membaca kitab ulama, jangan pilih yang lain selain menjadi ulama". Semoga Allah (s.w.t.) membukakan jalan makrifat yang seluas-luasnya untuk menuju kepada-Nya.

Wallahua’alam.

No comments:

Post a Comment