Rabi'ul Anwar 1433H

Bismillahirrahmanirrahim.


Syukur atas segala rahmat dan kurniaan dari Allah Jalla Wa ‘Ala. Dengan izin-Nya, mata masih bisa melihat, telinga masih mampu mendengar, tangan masih kuat bergerak, kaki masih teguh melangkah, jantung masih bisa berdetak. Subhanallah Wa Bihamdih Subhanallah al-Azhim. Allahumma A'ini 'Ala Zikri-Ka Wa Syukri-Ka Wa Husni 'Ibadati-Ka. Selawat dan Salam atas junjungan mulia Nabiyullah Muhammad al-Mustafa s.a.w. yang apabila disebut namanya ummat berselawat, sebagai bukti cinta dan kasih kepada baginda yang mulia. اللهم صل وسلم وبارك وعلى آله.
**************************************************
Cinta Rasul dihangatkan lagi,
Dengan alunan selawat dan bacaan Mawlid,
Qasidah dan Tausyiah turut menghiasi,
Itulah Rabi’ul Anwar kembali lagi.

Terkenang kembali sirah Rasul yang mulia,
Setiap pencinta menyambut dengan gembira,
Tidak mengira umur, pangkat dan harta,
Dalam cahaya selawat berpadu semua.

Gema selawat kian memuncak,
Menzahir rindu yang sekian lama tertahan,
Hingga batin menjadi sebak,
Tatkala setiap bait dilantun dan dilafazkan

Ya Abal Qasim, kami merinduimu,
Ya Mustafa, kami mengasihimu,
Ya Habibi, kami mencintaimu,
Ya Rasulullah, kami damba cintamu.

Allahumma Solli Wa Sallim ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Aalih.

*************************************************
Tahun ini diizinkan Allah Jalla Wa ‘Ala untuk menghadiri majlis Mawlid di Masjid Negeri Shah Alam. Inilah kali pertama menyaksikan sambutan Mawlid setelah sekian lama menanti dan mengharap. Syukur Alhamdulillah kerana dikurniakan peluang yang begitu indah dalam majlis yang penuh rahmat dan barakah. Inilah kenangan terindah pada tahun ini yang akan dikenang dan dirindui. Pada majlis itu, tiga mawlid dibacakan. Namun hanya diberi kesempatan untuk menghabiskan dua bacaan mawlid sahaja. Walaupun tidak dapat ketiga-tiganya, dua itu sudah cukup untuk menyaksikan betapa besar kurniaan-Nya buat diri. Allah Akbar! Semoga Allah mengizinkan lagi untuk berada dalam majlis-majlis yang menzahirkan cinta Rasul seperti ini. Amin.

Jangan sesekali mencela mereka yang ingin berselawat sekalipun dirinya terkenal sebagai ahli maksiat. Siapa tahu berkat sekali dia berselawat atau mendengar ucapan selawat mampu memberi kesan pada hatinya pada suatu masa nanti, lalu tatkala itu hidayah-Nya memenuhi dirinya dan mengembalikannya ke jalan yang benar. Semua itu dalam rahsia Allah Yang Maha Dalam Pengetahuan-Nya. Masih segar dalam ingatan, pesanan dan nasihat al-Habib Ali al-Jufri (semoga Allah merahmatinya) dalam salah satu kuliahnya, katanya, “Jangan pandang pelaku maksiat dengan pandangan penghinaan. Hinalah maksiat tapi jangan kamu menghina pelaku maksiat”.

Barangkali mungkin di kalangan kita tidak mengetahui tentang ini. Kita membenci perkara mungkar dan maksiat lalu menunjukkan kebencian itu dengan membenci sebenci-bencinya maksiat yang dilakukan termasuklah pelaku maksiat itu. Rupanya kita tertipu dengan kebaikan yang kita lakukan. Membenci maksiat itu baik, tetapi membenci pelaku maksiat itu adalah jahat dan maksiat pula. Sungguh halus permainan Iblis dan syaitan, menggoda manusia dengan kebaikan yang dibaliknya ada suatu kejahatan. Wal’iyazubillah. Apa guna menyalahkan musuh jika diri tidak ingin berubah? Bermaknakah kebaikan jika sentiasa merasa diri benar sehingga menyalahkan yang lain? Berilah harapan untuk bersama-sama meraih rahmat Allah, jangan memutuskan harapan mereka yang ingin memulakan langkah menemui Tuhannya.

Jika kita mengaku bahawa kita adalah pencinta Rasulullah s.a.w., maka berusahalah menghidupkan sunnahnya satu persatu dalam kehidupan. Bermula dari sekecil-kecil sunnah seperti mendahulukan yang kanan pada perkara-perkara yang mulia (makan, masuk ke masjid, mandi dll), sehinggalah kepada sebesar-besar sunnah. Ikutilah jalan yang dilalui oleh para ahlul bayt kerana mereka adalah orang yang paling memahami dan hampir dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Mereka adalah orang yang paling faham tentang makna kebersihan hati dan kejernihan batin. Ingatlah kata-kata al-habib Ali al-Jufri (semoga Allah merahmatinya), “Jangan ada di antara kalian yang mengatakan ‘Di manalah kami berbanding Ahlul Bayt. Kami tidak boleh jadi seperti mereka’. Kalaulah kalian tidak mampu menjadi seperti mereka, kalian mampu untuk bersama mereka. Pengertian disebalik “kalian bersama mereka” adalah dengan merindui akhlak dan perjalanan hidup yang telah mereka lalui.”
Lupakan perbezaan pandangan dalam berpolitik, padamkan segala permusuhan, tinggalkan segala maksiat kerana jahil atau tidak. Kita basahi lidah dengan memuji Allah Jalla Wa ‘Ala, diikuti ucapan selawat ke atas Sayyidina Muhammad s.a.w dan keluarganya. Mudah-mudahan dengan keberkatan selawat, kita dikurniakan hidayah kebenaran di dunia dan nikmat Syurga di akhirat kelak. Singkaplah kisah Abu Lahab yang diringankan siksaannya di Neraka pada setiap hari Isnin. Hanya kerana dia berasa gembira atas kelahiran Sayyiduna Muhammad s.a.w. sehingga dia memerdekakan seorang hambanya bernama Thuwaybah yang kemudiannya menjadi ibu susu pertama baginda s.a.w. Jika seorang kafir bergembira terhadap kekasih-Nya Sayyidina Muhammad s.a.w. pun Allah s.w.t. membalasnya dengan kebaikan, apatah pula umat baginda s.a.w. yang sudah sekian lama mengucapkan syahadah dan mengikuti agama yang dibawa oleh baginda s.a.w.? Semoga kita tergolong dikalangan mereka yang mencintai Rasulullah s.a.w. serta para ahlul bayt dengan sebenar-benar cinta, agar terhubung pula kepada cinta Allah s.w.t. Wallahua’alam.

No comments:

Post a Comment